Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
     
ECCE Council

Deputy Prime Minister Speech


TEKS UCAPAN

 

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD. YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA MERANGKAP

MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

 

“MERASMIKAN MAJLIS PELANCARAN MINGGU KEBANGSAAN

ASUHAN DAN PENDIDIKAN 2012”

 

PADA 31 OKTOBER  2012 (RABU); JAM 9.00 PAGI;

BERTEMPAT SIME DARBY CONVENTION CENTRE

Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

 

1.         Pertama sekali, saya ingin melafazkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana atas limpah kurnia-Nya, kita semua dapat bersama-sama berhimpun meraikan Minggu Kebangsaan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di pagi yang meriah ini. Tahniah juga saya ucapkan kepada Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia ataupun ECCE, kerana menganjurkan program ini untuk meningkat lagi kesedaran pihak-pihak berkepentingan and juga pihak awam dalam pentingnya asuhan dan pendidikan awal dalam memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin, seiring dengan cabaran-cabaran global yang bakal ditempuhi oleh mereka.

 

2.         Kerajaan percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk menikmati asuhan dan pendidikan awal yang berkualiti, memandangkan impak pengalaman dalam tempoh 0-5 tahun pertama di atas perkembangan minda kanak-kanak adalah yang paling kritikal. Komitmen kerajaan jelas dilihat dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi, (ETP) dengan mengambilkira keperluan setiap kanak-kanak. Di bawah GTP 1.0, Kerajaan telah menetapkan pencapaian  akses kepada pendidikan prasekolah kepada 87% pada 2012. Dalam  tahun  2010 dan 2011, sebanyak 4,589 buah kelas prasekolah telah dibina, terutama dalam kawasan luar bandar dan pendalaman. Di bawah GTP 2.0 pula aksesibiliti lagi ditingkatkan dan sasaran enrolmen prasekolah untuk dicapai ialah 92% pada tahun 2015.

 

Para hadirin sekalian,

 

3.         Akses ke prasekolah bukanlah merupakan  tanggungjawab Kementerian Pelajaran sahaja.  Kementerian Luar Bandar (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Nasional dan Integriti Negara (JPNIN) juga telah membina lebih banyak kelas prasekolah, khususnya di luar bandar dan kawasan miskin dalam Bandar. KEMAS juga menyediakan perkhidmatan asuhan kanak-kanak  kepada keluarga yang  berpendapatan rendah. Melalui penambahan perkhidmatan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan juga telah membina permuafakataan dengan sektor swasta melalui EPP1 iaitu Ramping Early Child Care and Education, yang merupakan satu inisiatif  di bawah Program Transformasi Ekonomi. Selain itu, kerajaan menyediakan pembiayaan yuran atau fi kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin, dan juga lain-lain instrumen seperti geran pelancaran dan soft loans.  Di bawah EPP I, pada tahun lepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan Garispanduan Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak dan Prasekolah dengan tujuan memudahkan proses permohonan lesen dan bayaran yuran semasa proses permohonan. Saya berharap, kerajaan tempatan akan menggunakan Garispanduan ini, khasnya bagi menubuhkan pusat sepadu bagi mempercepatkan proses pelesenan tanpa mengabaikan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.

 

4.         Kerajaan percaya bahawa akses kepada asuhan dan pendidikan awal sahaja tidak mencukupi. Kualiti dalam penyampaian adalah aspek yang sangat penting sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif ingin ditekankan. Saya bersetuju dengan pendapat Network of Experts in Social Science of Education and Training (NESSE) dalam laporan asuhan dan pendidikan awal yang dikemukakan kepada European Commission. NESSE menyatakan antara lain:

“Early education and care is only a good investment if

            it is of high quality. Poor care may do more harm than

            good for the most vulnerable children.”

 

Kualiti program ECCE bergantung kepada kualiti guru yang harus memperolehi pengetahuan dan kecekapan dalam bidang ini. Salah satu kriteria atau syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran adalah guru prasekolah mesti mempunyai ijazah dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak. Dengan ini, adalah diharapkan bahawa Guru prasekolah KEMAS dan JPNIN akan juga mencapai taraf ini dimasa terdekat bagi memastikan standard dan kualiti guru adalah setara merentasi semua pusat asuhan dan prasekolah.

5.         Saya difahamkan buat masa ini, dianggarkan hanya 3% guru prasekolah di sektor swasta memperolehi kelayakan diploma atau ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak sementara yang lain mempunyai latihan di tempat kerja atau telah menyertai kursus prasekolah yang tidak diiktirafkan oleh MQA. Dalam hal ini, saya menyarankan para guru mengikuti sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak. Pada masa yang sama, kerajaan akan sentiasa mengkaji bagaimana dapat membantu guru-guru merealisasikan aspirasi ini. Baru-baru ini, PTPTN telah membenarkan sesiapa yang ingin mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk memohon pinjaman dan ini merupakan satu langkah permulaan yang baik. Kementerian Pelajaran pula telah mengambil inisiatif menyediakan satu kursus selama 3 minggu, dengan percuma, bagi semua guru prasekolah daripada sektor swasta. Dianggarkan sehingga bulan Disember 2012 seramai 20,000 guru prasekolah akan dilatih dalam kursus ini dan saya berharap lebih ramai lagi yang dapat dilatih dimasa-masa yang akan datang.

 

6.         Untuk meningkatkan lagi kualiti asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak,  Kementerian Pelajaran dan Majlis ECCE sedang  membangunkan standard kualiti untuk TASKA dan prasekolah. Program pentaksiran kendiri ini bertujuan membantu TASKA dan prasekolah mencapai tahap kualiti yang dikehendaki bagi memastikan minda kanak-kanak berkembang dan mencapai perkembangan holistik.  Pentaksiran ini bukan  bertujuan ‘menghukum’ mana-mana TASKA atau prasekolah tetapi sebaliknya adalah untuk membantu mengenalpasti aspek-aspek yang perlu dibaiki dan jurang-jurang perkhidmatan yang perlu dirapatkan.

 

7.         Kerajaan juga peka dan prihatin kepada keperluan kewangan sektor ini. Pada tahun 2011 dan 2012 peruntukan sebanyak 3 juta telah diberi setiap tahun sebagai subsidi Kursus Asas Ashuan Kanak-kanak (KAAK) untuk pengasuh Taska. Subsidi ini membolehkan mereka didaftar sebagai pengasuh ‘berdaftar’ dan juga untuk menggalakan pendaftaran TASKA.

 

8.         Perkhidmatan asuhan diperlukan untuk membantu golongan wanita menyertai bidang pekerjaan. Ramai wanita yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman terpaksa berhenti kerja untuk mengasuh anak sendiri.  Salah satu tugas Majlis ECCE  adalah untuk menggalakan penyertaan sektor korporat dalam bidang asuhan kanak-kanak. Saya merasa bangga kerana asuhan kanak-kanak menjadi satu perkara penting dalam program Forum Minggu ECCE dan penyertaan sektor korporat nampaknya agak memberangsangkan. Di sini saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan kepada Forum tersebut. Saya berharap badan korporat yang lain juga akan turut serta memberi sumbangan seperti ini dimasa-masa yang akan datang.

 

  1. Sehubungan ini, bagi menggalakkan para majikan menyediakan perkhidmatan asuhan kanak-kanak untuk anak pekerja, Kerajaan telah menyediakan beberapa insentif dalam Bajet 2013.  Antaranya adalah:
  • potongan dua kali ganda di atas elaun atau  subsidi diberi oleh majikan dan perbelanjaan menyelenggarakan TASKA kepada majikan;
  • pengecualian cukai pendapatan selama                5 tahun dan pengecualian cukai bagi bangunan sebanyak 10% selama 10 tahun kepada pengusaha TASKA dan Prasekolah.

Kerajaan menyediakan insentif ini kerana telah terbukti             di dalam dan juga di luar negara, penyediaan perkhidmatan asuhan kanak-kanak kepada anak pekerja dapat memberi manfaat kepada majikan dan pekerja. Antara faedah kepada pihak majikan termasuk:

i)          peningkatan produktiviti kerana pekerja merasa

tenang dan juga kekurangan pekerja mengambil cuti kecemasan atau tidak datang kerja tanpa sebab dan;

ii)         pekerja akan kekal dan majikan tidak perlu

mengiklankan  untuk mencari pekerja baru

serta tidak perlu sentiasa melatih pekerja baru.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

10.       Kerajaan tidak terlupa akan keperluan kanak-kanak OKU yang juga mempunyai hak untuk menerima perkhidmatan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Dalam bajet 2013, peruntukan telah diberi bagi menubuhkan satu TASKA untuk kanak-kanak OKU daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Baru-baru ini satu makmal bagi pendidikan khas telah diadakan untuk membincang bagaimana perkhidmatan ini boleh disediakan untuk kanak-kanak keperluan khas. Dengan mengenalpasti kepentingan pentaksiran dan intervensi awal, pengasuh dan guru prasekolah dapat memainkan peranan yang penting dalam membantu kanak-kanak keperluan khas. Makmal ini juga mengesyorkan bahawa kursus pendidikan khas wajib untuk semua program pendidikan guru pada semua peringkat. Untuk makluman, saya sendiri telah melawat makmal tersebut minggu lepas dan secara prinsip menyokong setiap inisiatif yang telah dicadangkan, dan seterusnya dipertimbang untuk dimasukkan ke dalam laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015 yang sedang dikemaskini buat masa ini.

 

11.       Kerajaan mengakui bahawa kanak-kanak adalah pemimpin masa hadapan dan kerajaan akan membuat apa jua untuk menentukan mereka diberi peluang untuk membesar dan mencapai potensi dalam diri masing-masing. Memandangkan  perkembangan kognitif anak-anak diantara umur 0-5 tahun adalah paling pesat, kerajaan komited untuk melabur dalam asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Peruntukkan kepada ECCE dalam bajet 2013 juga membuktikan komitmen kerajaan kepada kesejahteraan kanak-kanak khasnya kepada kanak-kanak dengan keperluan khas dan dari keluarga berpendapatan rendah.

12.       Walaubagaimana pun, kerajaan memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan ataupun stakeholder – iaitu pengasuh, guru prasekolah, ibu bapa, sektor korporat, Majlis ECCE, pertubuhan bukan kerajaan yang lain serta masyarakat umum – untuk memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti. Kerajaan mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak dalam hal ini. Dengan ini saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada Majlis ECCE di atas usaha dan kerjasama bagi meningkatkan  tahap kesedaran, profesionalisme dan jaminan kualiti dalam subsektor pendidikan yang penting ini.

 

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim dengan ini saya dengan sukacitanya, merasmikan Minggu Kebangsaan ECCE 2012.

 

Wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh