ECCE Council

The Deputy Prime Minister Speech

The Deputy Prime Minister Speech

Yang Berhormat Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Dalam Pejabat Menteri Besar, Sarawak. 

Yg. Bhg. Dato Azmi Bin Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Yg. Bhg. Datuk Dr Chiam Heng Keng, Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia.
Yg. Bhg. Tuan Hadzir bin Md Zain, Ketua Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia,
Tuan-tuan, puan-puan, dif jemputan serta hadirin sekalian.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

1. Marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita berkumpul bersama di dalam Pelancaran Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di Auditorium Suruhanjaya Syarikat Malaysia ini. Hari ini merupakan hari yang istimewa di dalam sejarah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di Negara kita. Saya merasa sangat bangga kerana dapat bersama-sama dengan pengasuh kanak-kanak, para pendidik awal kanak-kanak, ibu bapa dan pembela (advocate) kanak-kanak. Malaysia merupakan satu-satunya Negara di dunia, yang telah mewujudkan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal bertujuan untuk menentukan taraf professionalisma, standard dan kualiti dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Tahniah saya ucapkan kepada Majlis ECCE.

2. Pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak semakin diiktiraf sebagai satu komponen yang penting di dalam sistem pendidikan di seluruh dunia. Pengiktirafan ini bermula dengan penerimaan Deklarasi Dakar Pendidikan Untuk Semua (Dakar Declaration on Education for All) yang menggariskan “Expanding Early Childhood Care and Education” sebagai Matlamat Pertama. Malaysia sebagai salah satu Negara yang telah menandatangani deklarasi tersebut telah menunjukan komitmen tinggi melalui penubuhan Majlis ECCE ini.

3. Kajian sebelum ini telah menunjukkan bahawa kehadiran kanak-kanak ke pra sekolah yang berkualiti telah mengurangkan kadar keciciran, mengurangkan kadar jenayah dan secara kumulatif meningkatkan kebolehpasaran dalam jangkamasa panjang. Kajian tersebut dan juga model ekonomi seperti model James Heckman yang merupakan pemenang Nobel dalam sains ekonomi (Nobel Laureate in Economics Science) telah membuktikan bahawa setiap 1 USD yang dilaburkan kepada industri pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak akan memberi pulangan di antara USD 2 kepada USD 17. Oleh yang demikian, pelaburan kerajaan di dalam bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu langkah yang tepat. Walaubagaimanapun disebalik pelaburan ini, apa yang lebih penting adalah penyediaan asas pembelajaran yang kukuh untuk perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Ini akan dapat meningkatkan lagi keberangkalian untuk kanak-kanak itu berjaya secara lebih holistik dan seterusnya menyumbang kearah pembangunan Negara pada masa depan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Pada tahun lepas, sebanyak RM10.6 juta disalurkan untuk membantu bayaran yuran bagi 21,179 orang kanak-kanak daripada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menghadiri prasekolah swasta. Geran pelancaran sebanyak RM10,000 juga disediakan untuk prasekolah persendirian/swasta yang baru. Tambahan satu ribu lima ratus (1,500) prasekolah telah diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran , Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) dan sektor swasta untuk membolehkan sejumlah lebih daripada 700,000 murid prasekolah yang berumur di antara 4 dan 5 tahun mula bersekolah pada 2010. Ini merupakan peningkatan dan kejayaan yang boleh dibanggakan berbanding dengan tahun 2009 di mana seramai 54,569 kanak-kanak tidak berpeluang menghadiri tadika kerana tidak ada kemudahan tersebut di kawasan mereka.

5. Kerajaan juga telah mengiktirafkan sumbangan daripada pihak sektor swasta melalui EPP1 iaitu penambahan pusat Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang merupakan salah satu di antara 13 inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA). Dengan kerjasama awam-swasta (PPP), EPP 1 diharapkan akan dapat meningkatkan nilai GNI (Gross National Income) kepada USD 1.2 billion menjelang tahun 2020. Disamping itu, Kerajaan juga yakin dapat meningkatkan peratus pengambilan kanak-kanak di sektor swasta daripada 37.6% sebelum ini kepada 80% pada tahun 2011 dan 87 % pada tahun 2012.

6. Selain daripada TASKA di tempat kerja kerajaan dan Pusat Permata di luar bandar, perkhidmatan asuhan kanak-kanak hanya dikendalikan oleh sektor swasta dan korporat sahaja. Buat masa ini terdapat hanya 4% kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-kanak. Tetapi di bawah EPP1, jumlah ini akan meningkat kepada 25% untuk membolehkan lebih ramai lagi golongan ibu bekerja serta memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat pengasuhan yang lebih berkualiti.

7. Pada masa ini kerajaan menyediakan bantuan yuran sehingga RM150 sebulan untuk seorang kanak-kanak daripada keluarga miskin yang menghadiri prasekolah swasta. Satu skim sedang dikaji agar kerajaan akan memberi bantuan mengikut skala tertentu bagi kanak-kanak yang menghadiri taska dan prasekolah swasta. Bantuan ini dapat memanfaatkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan sederhana rendah .

Para hadirin sekalian,

8. Kemudahan fizikal yang canggih semata-mata tidak menjadi jaminan kearah merealisasikan impian untuk taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah mencapai tahap kelas pertama. Kita memerlukan pengasuh dan guru prasekolah yang mempunyai sifat pengasih, pengetahuan, kemahiran dan set minda terbuka untuk menjadi pendidik yang berkaliber. Di atas kesedaran ini, Kementerian Pelajaran di bawah NKEA telah memperuntukkan RM19 juta untuk meningkatkan prestasi kemahiran kepada 6580 guru prasekolah bagi menghadiri kursus selama 3 minggu pada tahun 2010. Pada tahun ini, peruntukan telah ditambah sebanyak RM20.5 juta untuk melatih 7420 guru prasekolah dan seramai 6000 guru prasekolah lagi akan dilatih pada tahun 2012. Bagi pengasuh pula, RM3 juta telah diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai subsidi yuran latihan.

9. Kerajaan mengakui bahawa latihan seperti ini tidak mencukupi untuk menghasilkan pendidik awal kanak-kanak yang bertaraf dunia. Semakin berilmu seseorang pendidik, semakin tinggi kemahiran mereka, dan semakin berkesanlah fungsi mereka sebagai pendidik dalam tahun-tahun formatif dan kritikal untuk perkembangan kanak-kanak. Di kalangan negara yang telah lama memberi pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak, seperti di Persekutuan Russia, pendidik memiliki ijazah doktor falsafah ataupun sekurang kurangnya ijazah sarjana. Ini seharusnya menjadi aspirasi dan penanda- aras. Sehubungan itu, saya difahamkan Kementerian Pelajaran dalam proses mengubal mekanisma dan syarat bagi membolehkan para pendidik dan pengasuh mencapai kelayakan yang lebih tinggi dalam masa yang terdekat.

10. Usaha dalam meningkatkan mutu pengasuhan dan pendididkan awal ke tahap bertaraf dunia adalah satu tugas yang mencabar. Namun begitu, Kerajaan komited dan akan memainkan peranan bersama Majlis ECCE dalam usaha meningkatkan profesionalisma serta mutu dalam pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Saya yakin usaha ini akan memantapkan lagi mutu penyampaian pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak dan seterusnya melahirkan bakal pemimpin serta pemacu kepada pembangunan Negara di masa depan.

Akhir sekali, dengan lafaz bismillahirrahim saya merasmikan pelancaran Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Wabillahi taufiq wal-hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh